PENGERUSI MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberi komitmen untuk membincangkan isu tiket penerbangan ke Langkawi yang mahal hingga membebankan terutama dikalangan pelajar dari luar pulau berkenaan.

Isu berkenaan dibangkitkan oleh seorang bapa kepada pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi dalam komen di Facebook terhadap hantaran beliau mengenai MRSM Langkawi hari ini.
“Insya-Allah saya cuba tengok dan bincang dengan pihak berkenaan apa yang boleh dibantu,” komen balasnya terhadap isu harga tiket penerbangan ke Langkawi itu.
Terdahulu pengguna Facebook, Zikriel Hakeem berharap MARA dapat bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan bagi isu berkenaan.
“Kami ibu bapa pelajar MRSM Langkawi selalu menghadapi masalah tiket penerbangan yang selalu berubah dan harga tiket yang tinggi.
“Kebanyakan pelajar adalah dari luar Langkawi. Kami berharap agar pihak Datuk (Asyraf Wajdi) dapat berunding dengan syarikat penerbangan bagi menawarkan harga yang rendah bagi pelajar.
“Kebanyakan kami adalah dari golongan B40 dan M40. Kami sangat terbeban dengan harga tiket penerbangan yang tinggi,” katanya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi dalam hantarannya berkongsi mengenai lawatannya ke MRSM Langkawi semalam bagi meninjau isu masalah air yang turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Alhamdulillah saya mengumumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri dan Majlis MARA telahpun meluluskan peruntukan sebanyak RM960,000 untuk segala kerja-kerja tambah baik infrastruktur, penggantian alat-alat perkakas termasuklah kerja-kerja membaikpulih saluran air bersih dan tangki air Maktab.
“Isu air bukan masalah MRSM sahaja tetapi seluruh Langkawi,” katanya. – Malaysiapost