SEORANG pensyarah bersetuju jika hanya lima subjek diajar di sekolah rendah, selaras konsep kurikulum bersepadu yang telah diperkenalkan sejak tahun 1983.
Lima subjek tersebut ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Agama Islam, Moral (untuk bukan Islam), Matematik serta Pendidikan Kesihatan dan Jasmani.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad murid masih boleh mempelajari Sejarah dan Sains yang disepadukan dalam subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
“Nak masukkan asas Geografi, alam sekitar, keselamatan jalan raya dan sebagainya pun boleh jika kita mahu sebagai kandungan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu dan Inggeris.
“Yang penting di peringkat sekolah rendah, memadai murid didedahkan dan tahu kandungan asas sejarah, sains atau yang lain melalui aktiviti pengajaran bahasa Melayu atau Inggeris.
“Temakan dan pelbagaikan isi kandungan Bahasa Melayu. Ada fiksyen dan ada non-fiksyen. Murid boleh buat karangan atau membaca karangan ‘Mat Kilau di Pahang’, ‘Rukun Negara’, ‘Jalur Gemilang, ‘Raja Berperlembagaan’ atau karangan bertajuk ‘kemerdekaan Tanah Melayu’.
“Kalau mahu karangan fiksyen seperti ‘aku sebatang pen’ pun boleh masukkan juga,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Dr Anuar menambah, yang mahu diuji di sekolah rendah ialah kemahiran membaca dan menulis dalam bahasa Melayu dan Inggeris serta mengira .
Katanya, kandungan sejarah adalah ‘alat belajar’ atau bahan kandungan sahaja, maka tidak perlu ada ujian tentang kandungan sejarah.
“Begitulah juga, boleh sahaja guna isi kandungan sains untuk kemahiran menulis, membaca dan menutur dalam aktiviti mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk sekolah rendah.
“Murid-murid boleh menulis, membaca atau menutur tentang ‘Bee Life Cycle’, ‘The solar system’, ‘Light and Sound’ dan sebagainya dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
“Murid ada masa enam tahun untuk belajar Sejarah atau Sains dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Susunlah topik yang sesuai mengikut tahun,” katanya lagi.
Tambahnya, apa yang murid peroleh dengan cadangan itu antara lain akan mahir bahasa Melayu dan Inggeris, serta masih ada pengetahuan Sejarah dan Sains.
“Yang baiknya, tak ada lagi banyak subjek mereka perlu belajar untuk sekolah rendah sebab hanya lima subjek, guru-guru boleh diagih supaya satu kelas ada 25 murid sahaja.
“Konsep kurikulum bersepadu sudah 40 tahun diwujudkan, ia masih relevan dan patut diteruskan. Kita memang sudah ada kaedahnya. Tanpa kos tambahan yang besar,” katanya. – Malaysiapost