KBS salur RM1.48 juta untuk misi mencari Hawari
KERAJAAN melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan RM1.48 juta bagi misi Mencari dan Menyelamat (SAR) Malaysia Everest 2023 (ME 2023), Muhammad Hawari Hashim yang dilapor hilang di kawasan pergunungan Everest sejak Jumaat lalu.
Ketua Setiausaha KBS, K Nagulendran berkata, misi itu sangat penting susulan penutupan Gunung Everest pada 29 Mei nanti berikutan cuaca buruk.
“Peruntukan ini dari Kementerian Kewangan dan disalurkan melalui kita dan kita akan bekerjasama dengan kelab (Kelab Eksplorasi Altitud) dan sudah pasti Wisma (Wisma Putra) membantu di lapangan.
“Saya dimaklumkan rakan daripada kelab, pergunungan Everest akan ditutup pada 29 Mei, jadi kita ada sampai 28, sebab 28 semua kena turun.
“Tempoh ini sangat kritikal, sangat penting, jadi kerajaan berpandangan sedangkan Saudara Hawari adalah seorang OKU, jadi kita kena buat bersungguh-sungguhlah,” katanya di Parlimen, hari ini.
Hawari, 33, dilaporkan hilang ketika menuju ke Kem 3 selepas menawan puncak Everest pada 18 Mei lalu.
Hawari dilaporkan hilang selepas turun dan berehat di kem empat sebaik menawan puncak Everest pada 8,848 meter dari paras laut.
Misi mencarinya akan diteruskan sehingga Ahad depan sebelum Everest ditutup dan hanya akan dibuka untuk pendaki pada musim akan datang iaitu tahun hadapan. – Malaysiapost