AHLI Parlimen Machang mempersoalkan tindakan Kerajaan Perpaduan menggunakan pelajar sekolah serta anggota bomba untuk menonton filem ‘Anwar: The Untold Story’.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyoal demikian susulan tular dua surat jemputan, masing-masing dengan kepala surat sebuah sekolah serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk menonton filem tersebut.
Beliau turut mempersoalkan kewajaran membawa mesej propaganda politik melalui filem tersebut terhadap pelajar sekolah serta penjawat awam.
“Apa sudah jadi? Kenapa ditunggang sekolah dan bomba untuk kerja sebegini? Bolehkah dibawa mesej propaganda politik kepada murid-murid dan penjawat awam dengan cara sebegini?
“Bukan semua benda dalam filem tu betul pun. Macam terdesak sangat!
“Dulu DS Najib Razak tak ada pun buat macam ni untuk filem filem biopic Almarhum Tun Razak, Tanda Putera,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam, tular di media sosial surat rasmi dengan kepala surat sekolah berkenaan yang memaklumkan kepada ibu bapa mengenai program tayangan eksklusif itu.
Turut tular ialah surat jemputan untuk anggota bomba bagi menonton filem itu.
Terdahulu hari ini, Penolong Kanan SMK Putrajaya Presint 5 (1), Suziyah Selamat berkata tiada paksaan kepada pelajar Tingkatan 6 sekolah itu ntuk menonton filem biopik Anwar: The Untold Story.
Katanya, program menonton filem itu juga adalah atas jemputan pihak Kementerian Pendidikan yang dilihat sebahagian daripada proses pembelajaran di luar bilik darjah.
“Kami terima undangan untuk sediakan pelajar dan kami positif kerana pelajar yang terlibat pun dah 18 tahun ke atas.
“Jadi, bila kita nak bawa pelajar untuk aktiviti luar, kita kena sediakan surat untuk pemakluman kepada ibu bapa dan kita edarkan kepada ibu bapa yang terlibat saja,” katanya memetik FMT, hari ini. – Malaysiapost