KERAJAAN digesa mengambil langkah-langkah konkrit, segera dan pragmatik untuk mengatasi masalah insolvensi di kalangan rakyat.
Ahli Parlimen Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penekanan khusus harus diberi oleh kerajaan terhadap usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, dengan pendekatan yang komprehensif dan memfokuskan pada perlindungan dan pemulihan kewangan rakyat, diharapkan masalah ini dapat diatasi dengan lebih efektif.
“Semasa Malaysia diuji dengan pandemik wabak Covid-19 yang memberikan kesan terhadap kehidupan seharian rakyat, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menggubal dan meluluskan satu akta baharu yang dinamakan Akta Covid-19.
“Akta tersebut telah diwartakan dan mula berkuatkuasa mulai 23 Oktober 2020. Kerajaan sewaktu di bawah kepimpinan saya telah memastikan banyak langkah diluluskan dalam Akta tersebut.
“Antara langkah yang signifikan ialah had ambang penghakiman yang membolehkan seseorang diisytiharkan bankrap dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000. Ini merujuk khususnya di bawah Seksyen 20 Akta Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 bagi menambah baik sistem pentadbiran kebankrapan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.
Muhyiddin berkata, langkah-langkah strategik diambil oleh Kerajaan PN pada saat-saat getir dalam mengharungi pandemik Covid-19 itu, ternyata telah menyelamatkan ramai rakyat Malaysia, daripada berdepan dengan masalah kebankrapan.
Menurutnya, berdasarkan statistik Jabatan Insolvensi Malaysia antara tahun 2019 hingga 2023, orang Melayu mencatatkan kes bankrap tertinggi sebanyak 58.28 peratus, manakala Cina (24.96 peratus), India (7.91 peratus) dan lain-lain (8.67 peratus.
“Jika dilihat dari segi ambang keberhutangan, sebahagian besar kes kebankrapan (64.8 peratus) adalah antara RM100,000 hingga RM499,999, manakala 20.96 peratus untuk ambang antara RM50,000 hingga RM99,999.
“Justeru, apakah perancangan khusus yang diambil oleh kerajaan terhadap kes kebankrapan melibatkan hutang melebihi RM50,000, memandangkan hanya sekitar 130,000 (50 peratus) orang daripada 260,000 kes bankrap yang layak untuk mendapat pelepasan kebankrapan mereka?” soalnya.
Beliau berkata, walaupun secara dasarnya pindaan terhadap Seksyen 33B(2A) Akta 360 menambah dua kategori pelepasan bankrap baharu tanpa bantahan pemiutang, namun penekanan khusus juga harus diberi oleh kerajaan terhadap usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi.
“Ini penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan ini untuk menyumbang kepada ekonomi negara.
“Pada hakikatnya, kebankrapan adalah satu bentuk hukuman dan bukan satu skim pembayaran semula, maka sekiranya telah menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu dengan berkelakuan baik, maka seharusnya pelepasannya dari status kebankrapan disegera dan dipermudahkan, tanpa melihat pada nilai atau jumlah hutang am yang difailkan,” katanya.
Muhyiddin turut menggesa agar diwujudkan kaedah pelepasan bersyarat yang lebih fleksibel untuk seseorang boleh dilepaskan dari status kebankrapan dengan syarat dan perjanjian tertentu agar lebih ramai individu bebas daripada status bankrap.
Beliau juga meminta kerajaan memantau keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank yang semakin rancak di Malaysia seperti perkhidmatan ‘Buy Now, Pay Later (BNPL)’ bagi melindungi pengguna, khususnya belia.
“Ini kerana perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya berkait dengan platform e-dagang ini mengenakan kadar caj yang tinggi jika terlewat bayar ansuran bulanan.
“Malah, kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit,” katanya. – Malaysiapost