KONSERT kumpulan Coldplay yang julung kali diadakan di Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), pada 22 November ini mungkin akan ditambah sehari susulan permintaan ramai.
Penganjur Live Nation Malaysia, memaklumkan masih menerima permintaan tinggi bagi konsert Coldplay: Music Of The Spheres.
Pengarah Urusannya, Para Rajagopal bagaimanapun berkata terlalu banyak aspek perlu diambil kira bagi menunaikan impian ramai itu.
“Segalanya ada kemungkinan. Perbincangan masih berjalan mengenai banyak perkara. Kami tak boleh cakap apa-apa lagi,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Ia susulan terdapat petisyen dalam talian untuk konsert hari kedua ditambah selepas kumpulan terbabit mengumumkan bakal adakan konsert hari kedua di Koahsiung, Taiwan.
Rajagopal juga menyarankan peminat sentiasa melihat pengumuman terbaru di saluran-saluran penganjur.
Menurutnya, lebih 700,000 berusaha membeli tiket pada 17 Mei lalu yang kemudiannya terjual habis dalam tempoh tiga jam sahaja.
“Sangat berbeza dengan pembelian tiket penerbangan atau tempahan hotel. Tekanan menimpa keseluruhan infrastruktur digital cukup berlainan.
“Secara total, saya rasa kami tiada kawalan terhadap siapa berjaya dapat tiket dan pada jam berapa. Kami buka kepada sesiapa saja untuk masuk dalam sistem, tapi semestinya ada had tiket dijual,” katanya. – Malaysiapost