LIMA ’23 sarat dengan pelbagai pengisian bidang pertahanan dan aeroangkasa – Ahmad Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran dokumen membabitkan Institut Teknologi Penerbangan Malaysia, Universiti Kuala Lumpur, (UniKL-MIAT) di hari kedua Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23), di Pavilion Gading, Langkawi, hari ini.

Majlis berkenaan membabitkan kerjasama antara UniKL-MIAT dengan Aerostar Technologies (M) Sdn Bhd, BATS Aviation Sdn Bhd dan Mirakama Sdn Bhd.

Ahmad Zahid berkata, hari kedua LIMA ’23  berlangsung, sarat dengan pelbagai pengisian bagi mempromosikan teknologi baharu dalam bidang pertahanan dan aeroangkasa.

“Syabas dan tahniah buat ketiga-tiga syarikat umumnya dan UniKL khasnya atas pemeteraian perjanjian dan pertukaran dokumen ini.

“Saya yakin banyak yang boleh dicapai dalam penganjuran LIMA ’23 ini, termasuklah kerjasama di antara institusi pendidikan dan syarikat-syarikat ternama dunia,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, jika melihat asas perjanjian menerusi UniKL-MIAT dengan Aerostar Technologies ia adalah satu kerjasama teknikal untuk membina keupayaan tempatan dalam industri “MRO Military Aviation” akan dilaksanakan.

“UniKL-MIAT dan Bats Aviation pula akan bekerjasama dalam pembangunan latihan juruterbang kadet dengan diploma dan menaiktaraf kelayakan krew syarikat penerbangan.

“Kerjasama ini juga akan membina ekosistem penerbangan dan kelayakan kebangsaan dalam penerbangan bagi membangunkan generasi profesional penerbangan dan seterusnya mengubah landskap penerbangan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, UniKL dan Mirakama Sdn Bhd pula akan bekerjasama dalam melengkapkan graduan dengan kemahiran insaniah (soft skills) seperti penampilan diri, kemahiran berkomunikasi persediaan temuduga dan etika kerja.

“Kerjasama ini akan melibatkan pembangunan program dan latihan baharu seperti imej korporat, etika korporat dan juga komunikasi korporat yang bukan sahaja boleh digunakan oleh graduan tetapi juga kepada pekerja di dalam semua industri,” katanya.

LIMA ’23 bertemakan ‘Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia’ bermula semalam dan akan berakhir pada 27 Mei ini.

Edisi kali ini membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (Sektor Pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (Sektor Komersil).

Kali terakhir acara dwitahunan itu diadakan ialah pada 2019 dan ditangguhkan pada 2021 susulan pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika itu. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights