KEHADIRAN band popular British ke ibu negara pada November ini, turut mendapat perhatian bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini.
Menerusi hantaran di Facebooknya, anak bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu bukan sahaja menegur peminat Coldplay, malah kumpulan K-Pop popular, Blackpink.
Menurutnya, mereka yang menganggap hiburan melalaikan sebagai memberi ketenangan jiwa seperti tubuh dewasa tetapi berakal kanak-kanak.
“Mereka pula terus merengek mahukan ketenangan jiwa daripada Coldplay dan Blackpink. Tubuhnya dewasa. Akalnya kanak-kanak,” katanya.
Nik Mohamad Abduh menambah, hiburan kehidupan sebenar telah pun diturunkan Allah dengan menghadiahkan kitab suci al-Quran sebagai penawar.
Bagaimanapun katanya, walaupun penawar sebenar telah disediakan untuk mengubati ‘penyakit’, segelintir masih tidak mahu mendapatkannya, sebaliknya lebih terpedaya dengan ‘gula-gula’ yang tidak mampu memberi kesembuhan.
“Si bapa membelanjakan ratusan, bahkan ribuan ringgit membeli ubat untuk anaknya yang sakit. Si anak enggan dan merengek mahukan gula-gula. Begitulah sebahagian manusia,” katanya.
Baru-baru ini, beberapa pemimpin PAS menggesa kerajaan membatalkan konsert Coldplay yang dijadualkan pada November ini.
Mereka mendakwa kehadiran kumpulan itu ke Malaysia seolah-olah kerajaan menggalakkan budaya menyeleweng dan hedonisme.
Ini kerana dalam konsert di London sebelum ini, vokalis Coldplay, Chris Martin dirakam mengangkat bendera dengan jalur pelangi yang melambangkan LGBT. – Malaysiapost