OKU Sentral doakan Muhammad Hawari yang masih dilaporkan hilang

SERAMAI 100 orang kurang upaya (OKU) menyertai majlis doa selamat dan bacaan Yassin mendoakan pendaki negara Muhammad Hawari Hashim yang hilang dan sehingga kini masih belum ditemui selepas berjaya menawan Gunung Everest.

Majlis secara atas talian anjuran OKU Sentral itu diadakan pada jam 9.15 malam tadi dengan bacaan Yassin di terajui Imam Madrasah Al Muttaqin, Alam Jaya, Cheras, Ustaz Muhammad Wafaa Mohd Yusof.

Presiden OKU Sentral, Senator (B) Datuk Ras Adiba Radzi turut berkongsi majlis berkenaan di laman sosial Facebooknya malam tadi.

“Wari (Muhammad Hawari), malam ini 100 daripada kami membaca Yassin dan mendoakanmu. Kami pohon agar Yang Esa permudahkan urusanmu dik.

“Moga Wari tenang dan tahu bahawa Wari di dalam doa-doa kami. Pulanglah. Kami bangga dengan Wari. Pulanglah,” katanya.

Muhammad Hawari, 33, yang juga OKU pendengaran dilaporkan hilang pada Jumaat lalu ketika turun dari Kem Empat selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu dan misi Malaysia Everest 2023 (ME 2023).

Pendaki berasal dari Pulau Pinang dan bertugas di Muzium Pulau Pinang itu dilapor hilang sehari selepas seorang lagi pendaki ME 2023 iaitu Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Leftenan Kolonel Awang Askandar Ampuan Yaacub, 56, dilaporkan meninggal dunia. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights