RM11.2 billion wang tidak dituntut setakat April 2023

SEHINGGA 30 April 2023 jumlah Wang Tak Dituntut (WTD) yang diuruskan Jabatan Akauntan Negara ialah sebanyak RM11.2 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kira-kira 70 peratus daripada WTD itu adalah membabitkan wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih.

Menurutnya, dua lagi kategori WTD adalah wang yang tidak dibayar kepada empunya seperti gaji, bonus, dividen dalam tempoh setahun atau lebih serta wang dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat yang mempunyai lebihan dalam tempoh dua tahun atau lebih.

“Kita telah mengembalikan sebanyak RM3.3 bilion sehingga 23 Mei 2023 (semalam) kepada rakyat yang menuntut,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang bertanyakan jumlah WTD yang tersimpan setakat 31 Mac 2023 dan apakah cadangan untuk memanfaatkan wang itu yang terbiar lama untuk pembangunan negara.

Mengulas mengenai bagaimana kerajaan memanfaatkan WTD itu, Ahmad berkata, sebanyak RM10 bilion dimasukkan ke dalam simpanan tetap.

“Daripada simpanan tetap itu, kita dapat RM250 juta setahun, kira-kira selama 10 tahun dah kita dapat (dividen).

“Wang sebanyak RM250 juta itu kita kembalikan semula dalam akaun amanah yang disatukan dan digunakan untuk pembangunan serta bantuan rakyat,” katanya.

Sementara itu, dalam soalan tambahannya, Kui Lun bertanyakan sama ada kerajaan bercadang mewujudkan dana biasiswa pendidikan daripada WTD bagi pelajar yang layak dan tidak mempunyai sumber kewangan.

Selain itu, beliau turut bertanya apakah usaha kerajaan menjejaki pemilik WTD yang berkenaan.

Ahmad berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan biasiswa kepada pelajar yang layak daripada wang berjumlah RM250 juta diperoleh hasil daripada simpanan tetap bernilai RM10 bilion itu.

“Tetapi setakat ini, kita berikan untuk hal-hal secara umum bagi kembalikan duit itu kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, pihak yang mahu menuntut wang masing-masing boleh melayari portal eGUMIS di laman web Jabatan Akauntan Negara.

“Dalam tempoh masa 14 hingga 30 hari apabila dokumen lengkap diberikan, maka wang itu boleh dapat kembali.

“Saya ingin menyeru kepada rakyat di luar sana, silalah tuntut WTD itu. (Tetapi) pertama kena semak dulu ada atau tidak,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights