Sagu hati RM10,000: Kalau AKSB cemerlang, tiada siapa pertikai – Amanah Kelantan

PEMBERIAN sagu hati itu sangat tidak masuk akal, sedangkan masalah air di Kelantan gagal diselesaikan!

Pengerusi Amanah Kelantan, Khalid Abdul Samad menegaskan demikian berhubung pemberian sagu hati Aidilfitri kepada Ahli Lembaga Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebanyak RM10,000 seorang.

Bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu juga menyifatkan pemberian tersebut sebagai tidak munasabah kerana mereka tidak layak menerimanya.

“Jika AKSB cemerlang, kita tidak akan pertikai berapa banyak sagu hati yang mereka berikan, namun semua orang maklum isu air di Kelantan sehingga kini tiada penyelesaian.

“Malah kerajaan negeri sering memaklumkan memerlukan bantuan Kerajaan Pusat memandangkan kos yang besar, namun sebaliknya berlaku dalam keadaan tiada duit, mereka masih menerima sagu hati yang banyak.

“Sehingga kini kita tidak nampak perubahan atau penambahbaikan dilakukan AKSB. Saya yakin semua rakyat Kelantan marah mengenai perkara ini,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Baru-baru ini tular satu notis mengenai pemberian sagu hati Aidilfitri kepada sembilan Ahli Lembaga Pengarah AKSB masing-masing sebanyak RM10,000 seorang.

Turut dinyatakan dalam notis itu mengenai pemberian sagu hati kepada semua kakitangan sebanyak RM200 dan kepada setiausaha syarikat sebanyak RM2,000. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights