Sanusi bangga dengan LIMA 23

Sanusi bangga dengan LIMA 23

PENGANJURAN Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23) disifatkan sebagai yang terbaik setakat ini sepanjang acara berprestij itu berlangsung sejak 1991.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengakui kerjasama agensi-agensi di bawah kerajaan negeri mungkin melancarkan lagi LIMA 23 yang mendapat penyertaan terbesar daripada 18 buah negara.

Beliau berkata, LIMA dan Langkawi khususnya masih mendapat perhatian antarabangsa dengan penyertaan pasukan aerobatik ternama dan pempamer yang memiliki pelbagai aset pertahanan dan komersial yang canggih.

“Ini adalah LIMA pertama buat saya (sebagai Menteri Besar), saya bangga melihat persembahan maritim kerana mengenali ramai anggota Pasukan Khas Laut (Paskal) yang terlibat, saya teruja melihat keupayaan dan persiapan yang dibuat, malah aset yang dipamer semakin canggih.

“Saya lihat semua persiapan berjalan lancar dan bagus, saya rasa LIMA 23 adalah yang terbaik setakat ini, ia sangat membanggakan. Langkawi ini Kedah punya lah bos,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan persembahan pembukaan segmen maritim LIMA 23 yang diadakan di Resort World Langkawi (RWL) dan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Muhammad Sanusi berkata, orang ramai khususnya penduduk tempatan digalakkan hadir menyaksikan persembahan khas dan pameran aset ketenteraan sepanjang berlangsungnya LIMA 23.

“Saya difahamkan persembahan aerobatik turut membabitkan pasukan Malaysia dan negara lain, bukan senang untuk bawa pasukan luar kerana (kos) bawa satu pesawat kena bayar berjuta, tetapi mereka datang percuma dan kita hanya bagi minyak sahaja.

“Ini suatu pengiktirafan kepada LIMA dan Kedah juga, mungkin kerana LIMA tidak diadakan selama empat tahun, jadi mereka ‘qada’ dan beri sokongan kepada kita,” katanya. – Malaysiapost

Komen