Ahli Lembaga Pengarah, kakitangan AKSB berhak terima sumbangan
SETIAP syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhak memberi sumbangan kepada kakitangan termasuk Ahli Lembaga Pengarah, kata Menteri Besar Kelantan.
Susulan itu Datuk Ahmad Yakob berkata inisiatif sama turut diambil Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
“Itu jawapan saya dan doakan yang terbaik,” katanya ringkas memetik laporan Berita Harian hari ini.
Beliau menjawab demikian ketika diminta mengulaspemberian sagu hati Aidilfitri kepada Ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan AKSB.
Ahmad sebelum itu merasmikan Majlis Sambutan Hari Dapur Hijau Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujoh di Tumpat.
Terdahulu, AKSB dalam kenyataan berkata pemberian sagu hati kepada kakitangan termasuk Ahli Lembaga Pengarah adalah bagi membantu meringankan beban warga syarikat menyambut Hari Raya.
Katanya, pemberian itu turut dibuat mengikut prosedur tadbir urus kewangan dan dilulus oleh Lembaga Pengarah iaitu badan tertinggi sesebuah syarikat.
Sebelum ini, tular notis mengenai pemberian sagu hati yang disebarkan di sosial.
Menerusi notis itu, Ahli Lembaga Pengarah dipercayai seramai sembilan orang menerima sagu hati Aidilfitri RM10,000 seorang, manakala setiausaha syarikat RM2,000 dan kakitangan RM200. – Malaysiapost