NALURI ibu peserta Malaysia Everest 2023 (ME202) Muhammad Hawari Hashim masih kuat mengatakan anak itu masih hidup.
Che Tom, 64, berkata, dia yakin anaknya itu mampu bertahan susulan mempunyai peralatan lengkap selain bekalan makanan yang mencukupi ketika dilaporkan hilang.
“Naluri saya kuat menyatakan yang Warie masih hidup dan amat berharap dia dapat kembali dengan selamat.
“Hati saya kuat mengatakan masih ada harapan untuk Warie selamat dan kami memohon operasi mencari diteruskan selagi boleh.
“Besar sangat harapan saya agar Warie balik dalam macam mana keadaan dia sekalipun, kami terima,” katanya memetik Utusan Malaysia hari ini.
Beliau ditemui di kediamannya di Kampung Permatang Kerai Besar, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, hari ini.
Wanita itu berkata, mereka sekeluarga kekal positif walaupun misi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Hawari yang juga orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu, bakal ditamatkan Ahad ini.
Che Tom turut akui tidurnya tidak lagi lena sejak kejadian menimpa Muhammad Hawari kerana sering mengenangkan keadaan anak ketiga daripada lima beradik itu.
“Saya ada lakukan solat hajat, namun sehingga kini belum ada sebarang petunjuk.
“Kami sekeluarga mohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia kerana saya sendiri tidak kuat untuk hadapi dugaan ini,” katanya.
Jumaat lalu, Muhammad Hawari, 33, dilaporkan hilang ketika turun dari Kem 4 selepas menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu.
Sehari sebelumnya, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Leftenan Kolonel Awang Iskandar Ampuan Yaacub, 56, yang juga antara peserta ME 2023, dilaporkan meninggal dunia. – Malaysiapost