Anwar: The Untold Story lepasi 4 garis panduan LPF

EMPAT aspek utama dalam garis panduan filem Kementerian Dalam Negeri (KDN) 2010, telah diteliti dan diberi perhatian khusus oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) sebelum meluluskan filem biopik Anwar: The Untold Story untuk tayangan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, LPF membuat tapisan berdasarkan garis panduan meliputi aspek keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya serta ketertiban dan ketatasusilaan.

Jelasnya, lembaga itu juga akan merujuk kepada keputusan rasmi kerajaan berhubung kandungan sesebuah filem seperti kertas suruhanjaya diraja atau Iain-Iain keputusan yang berkaitan.

“Secara umumnya, semua filem boleh diluluskan untuk tayangan kepada umum termasuk filem yang memaparkan badan atau jabatan penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) selagi mana ia tidak bertentangan garis panduan tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis, sidang Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang meminta kerajaan menyatakan dasar LPF bagi kandungan filem atau drama televisyen membabitkan pihak berkuasa seperti PDRM khususnya adegan yang mencemarkan imej dan nama baik PDRM dalam filem Anwar: The Untold Story.

Saifuddin Nasution berkata, kementerian melalui LPF melaksanakan tugas dan tanggungjawab penapisan filem berdasarkan Akta Penapisan Filem 2002 [Akta 620].

Merujuk kepada peruntukan itu, katanya, LPF bertanggungjawab ke atas filem (termasuk drama televisyen) dan bahan publisiti filem yang disiarkan, dipamerkan, disebarkan, ditayangkan, diedarkan atau dipancarkan secara fizikal (konvensional) kepada masyarakat umum di Malaysia (kecuali melalui internet). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights