Biar Sultan yang pilih siapa jadi MB Kedah – Mahfuz

Biar Sultan yang pilih siapa jadi MB Kedah – Mahfuz

GABUNGAN Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bersetuju tidak akan menamakan ‘poster boy’ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah nanti.

Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, semua calon yang bertanding untuk PH-BN adalah ‘poster boy’ bagi gabungan berkenaan.

Menurutnya, sekiranya PH-BN berjaya menawan Kedah pada PRN tidak lama lagi, keputusan melantik Menteri Besar yang baharu akan ditentukan Sultan Kedah sendiri.

“Terserah kepada Sultan Kedah untuk melantik siapa yang akan menerajui kerusi Menteri Besar Kedah selepas pilihan raya nanti,” katanya dipetik Harapandaily, hari ini.

Dalam pada itu, Mahfuz berkata, semua penyokong dan pemimpin PH dan BN menerima keputusan pimpinan pusat dalam menentukan kerusi mana yang akan ditandingi dan siapa calonnya.

“Apabila pihak pusat telah membuat keputusan mengenai kerusi yang akan dipertandingkan menjelang PRN Kedah tidak lama lagi, semua parti harus akur dan mendokong bersama keputusan tersebut.

“Demi masa depan negeri Kedah semua pihak harus menerima apa jua keputusan mengenai kerusi yang akan ditandingi,” katanya.

Sementara itu, Mahfuz mengakui pembangkang di Kredah berdepan cabaran propaganda ekstrim pihak lawan yang dilakukan secara agresif dengan menyebarkan fitnah, adu domba serta isu agama dan fahaman sempit bagi menimbulkan kebencian.

“Anak muda mesti agresif terhadap penggunaan media sosial serta tindakan perlu diambil supaya mesej dapat disampaikan kepada golongan tersebut sepertimana yang telah dilaksanakan oleh pihak lawan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

“Dalam PRU-15 yang lalu, serangan dengan menggunakan sentimen ketakutan telah mereka lakukan dan ia mesti segera dirawat agar rakyat sedar untuk segera membuat perubahan bagi negeri Kedah.

“Kemenangan boleh dicipta di Kedah dan sudah tiba masanya bagi golongan muda didewasakan pemikiran mereka serta golongan senior pula diremajakan tindakan mereka,” katanya. – Malaysiapost

Komen