Dr Akmal nak lelong motosikal demi adik Athif

Dr Akmal nak lelong motosikal demi adik Athif

KETUA Pemuda Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh berhasrat melelong motosikal kesayangannya demi mendapatkan dana bagi rawatan bayi berusia 15 bulan, Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan.

Muhammad Athif yang menderita penyakit genetik ganjil Atrofi Otot Spina (SMA) memerlukan suntikan ubat jenis genetik Zolgensma bernilai kira-kira AS$2.1 juta (RM9.28 juta) untuk berpeluang pulih.

Menerusi hantaran di Facebooknya, beliau mahu melelong motosikal klasik jenis Honda miliknya yang mana setiap sen dari hasil lelongan akan diserahkan kepada keluarga bayi tersebut melalui Misi Rakyat.

“Saya nak melelong motosilal kesayangan saya demi untuk membantu adik Athif dapatkan dana secukupnya bagi rawatannya.

“Mohon dipanjangkan mesej ini kepada semua untuk kita sama-sama membantu adik Athif.

“Moga ada sinar harapan untuk adik Athif. Kita bantu sedaya upaya kita,” tulisnya di Facebook.

Media sebelum ini, melaporkan bapa bayi berkenaan, Mohd Farhan Mohd Sait, 35, berkata, anak bongsunya itu memerlukan RM9 juta untuk kos rawatan penyakit yang dideritainya.

Menurutnya, Muhammad Athif tidak mempunyai banyak masa dan berbaki lapan bulan jangka hayatnya, jika tidak tidak menerima suntikan ubat berkenaan sebelum usia mencapai dua tahun.

Katanya, suntikan ubat genetik Zolgensma diperlukan bagi menghentikan proses kemerosotan fungsi ototnya yang terjejas akibat penyakit itu.

Baru-baru ini Dr Akmal berkata, Pemuda Umno akan melancarkan tabung khas di setiap bahagian sayap parti itu bagi mengutip dana untuk membantu Muhammad Athif.

Beliau menyasarkan setiap bahagian dapat menyumbang sekurang-kurangnya RM1,000 bagi menampung kos rawatan bayi lelaki itu. – Malaysiapost

Komen