PELAKSANAAN konsep dwirangkaian 5G oleh kerajaan masih lagi menjadi satu tanda tanya kerana hala tuju projek berkenaan dilihat masih lagi samar.
Peguam dan penganalisis isu penipuan atas talian, Firdaus Ahmad berpendapat banyak lagi persoalan yang belum dijawab oleh pihak Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD).
Menurutnya, pihak kementerian masih lagi nampak berdalih untuk menjawab keraguan dan persoalan rakyat mengenai pelaksanaannya.
“Seperti yang kita sedia maklum, pembangunan 5G di Malaysia dikendalikan oleh Digital Nasional Bhd (DNB), syarikat di bawah Kementerian Kewangan (MOF) yang juga sudah melantik Ericsson sebagai pembangun teknologi 5G di Malaysia.
“Persoalannya, apa logik kerajaan cuba untuk mewujudkan persaingan dengan syarikat atau ‘purpose vehicle’ kerajaan dalam pembangunan 5G?
“Andai kata persaingan dari syarikat telekomunikasi berjaya untuk menjatuhkan DNB, kerajaan akan kehilangan pelaburan berpuluh billion ringgit,” katanya.
Menurutnya, persoalan lain adalah mengapa perlu membenarkan syarikat telekomunikasi menggunakan ‘highway’ 5G yang dibina DNB dan memudahkan mereka yang sudah untung berbillion setahun berbanding dengan syarikat milik kerajaan sendiri.
“Logik akal syarikat mana yang sanggup untuk mula bersaing dengan DNB setelah DNB meliputi 80 peratus kawasan dengan 5G. Sah sah mereka akan ketinggalan.
“Kalau mengikut Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital), pembangunan 5G oleh syarikat telekomunikasi ini akan menjadi ‘backup’ kepada 5G DNB.
“Tetapi kalau betul ia menjadi backup, kenapa mereka menggunakan ‘highway’ yang sama? Sebab kalau ia rosak, DNB dan syarikat telekomunikasi lain tidak boleh guna,” katanya.
Beliau berkata, persoalan lain adalah kenapa perlu mewujudkan rangkaian baharu sedangkan sudah ada rangkaian 4G yang akan bergerak seiring dengan 5G dan melengkapi sesama sendiri.
“Niat sebenar kewujudan rangkaian borong tunggal (SWN) adalah untuk memecahkan oligopoli syarikat telekomunikasi di Malaysia selama ini.
“Oleh itu kerajaan perlu ada kaedah yang tepat untuk mengelakkan perkara yang sama berlaku. Tetapi kenapa syarikat telekomunikasi masih lagi mengenakan harga yang mahal dan tiada usaha untuk menurunkan harga?” soalnya.
Firdaus berkata, kerajaan masih lagi tidak mempunyai jawapan jelas terhadap persoalan-persoalan berkenaan, malah tindakan untuk mewujudkan dwirangkaian 5G dilihat hanya sekadar tindakan populis tanpa ada analisis mendalam.
“Perlu untuk kita risau apabila syarikat milik kerajaan mengalami kerugian dalam pembangunan 5G. Kerana diakhirnya, untung DNB untunglah rakyat, rugi DNB rugilah rakyat,” katanya. – Malaysiapost