NRECC komited selesaikan isu air di Kelantan – Nik Nazmi

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) komited menyelesaikan masalah air di Kelantan selaras pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang secara terbuka menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, bagi tujuan itu pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor serta pengurusan tertinggi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), kelmarin.

Turut hadir bersama dalam pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan) NRECC, Dr Ching Thoo Kim; Ketua PEGAWAI Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman serta pegawai-pegawai kementerian.

Beliau berkata, antara isu yang dibincangkan termasuk berkaitan pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Machang yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan di bawah ‘Rolling Plan’ Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 (RP3, RMK-12) dan cadangan pembangunan infrastruktur bekalan air bagi TAPS yang akan dibina.

“Selain itu, perkara berkaitan pelaksanaan program pengurangan Air Tidak Berhasil (NRW) melalui penggantian paip-paip usang dan hapus kira pinjaman projek bekalan air luar bandar selari dengan Perjanjian Penstrukturan Industri Perkhidmatan Air Negeri Kelantan juga turut dibincangkan.

“Turut disentuh adalah berhubung perizaban tanah loji pembetungan kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dan hapus kira baki pinjaman projek pembetungan kepada geran,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pertemuan itu beliau turut mengingatkan kerajaan negeri bahawa tanpa usaha membaiki tatakelola AKSB, permasalahan air di Kelantan tidak akan selesai.

“AKSB seharusnya memperbetul tadbir urus mereka untuk menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan, sekaligus memberi manfaat kepada rakyat Kelantan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights