KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan mempengaruhi orang ramai untuk lebih berhati-hati dalam berbelanja dan akan menggalakkan mereka meningkatkan simpanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, wujud salah faham mengatakan kenaikan OPR akan menyebabkan inflasi lebih tinggi.
Menurutnya, apabila permintaan untuk barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi menjadi terlalu tinggi berbanding bekalan, harga akan cenderung untuk meningkat.
Katanya, OPR yang lebih tinggi akan membantu menyesuaikan permintaan kepada tahap yang lebih setara dengan bekalan seterusnya membantu mengurangkan tekanan terhadap kenaikan harga barangan.
Anwar berkata, jika keadaan inflasi menjadi tidak terkawal, kuasa beli bagi semua isi rumah, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah, serta kuasa beli simpanan penabung dan pesara akan merudum akibat kenaikan harga yang mendadak.
“Justeru, impak kewangan dari segi kejatuhan kuasa beli akibat inflasi yang tinggi dan tidak terkawal adalah jauh lebih buruk dan meluas berbanding kesan daripada kenaikan OPR secara terkawal dan beransur-ansur pada 2022.
“Peningkatan OPR pada Mei 2023 selepas dihentikan seketika pada Januari dan Mac 2023 bukan bertujuan untuk merencatkan usaha pemulihan ekonomi negara.
“Sebaliknya ia bertujuan memastikan ekonomi Malaysia kekal sihat dan berkembang secara mampan, serta inflasi kekal terkawal bagi tempoh masa yang berpanjangan,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang meminta menyatakan mekanisme penampan yang dirangka kementerian bagi menangani kesan negatif kenaikan OPR kepada tiga peratus yang akan meningkatkan kadar inflasi.
Anwar berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memantau keadaan terutamanya persekitaran global seperti tekanan harga, pertumbuhan ekonomi global, keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara termasuk tekanan berterusan dalam sektor perbankan dan kesannya terhadap prospek pertumbuhan ekonomi dan inflasi di Malaysia.
Beliau turut menjelaskan Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM pada 3 Mei lalu telah membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus kepada 3.00 peratus.
Menurutnya, meskipun kenaikan OPR memberi kesan ke atas ansuran bulanan bagi pinjaman yang berasaskan pinjaman berkadar terapung, perlu ditekankan bahawa langkah kenaikan OPR secara beransur-ansur oleh BNM adalah keputusan yang diambil dengan sangat berhati-hati.
“Sejajar dengan pemulihan kegiatan ekonomi, wujud tekanan harga yang didorong oleh permintaan yang kukuh.
“Penyelarasan dasar makro telah dilaksanakan agar negara tidak mengalami tekanan dari segi pertumbuhan ekonomi yang tidak mampan dan tekanan harga yang melampau terutamanya pada masa hadapan berikutan dasar makro yang tidak bersesuaian.
“Susulan tindakan tersebut, kadar inflasi yang memuncak ke paras 4.7 peratus pada Ogos 2022 telah berkurangan secara beransur-ansur kepada 3.6 peratus pada Mac 2023,” katanya. – Malaysiapost