Peruntukan RM1.6 bilion stabilkan harga minyak masak
KIRA-KIRA RM1.6 bilion diperuntukkan kerajaan pada tahun ini bagi pelaksanaan Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, jumlah peruntukan bagi menyediakan minyak masak bersubsidi adalah tertakluk kepada pergerakan harga minyak sawit mentah (CPO).
“Sekiranya harga CPO meningkat, maka dana yang diperlukan untuk melaksanakan program juga turut meningkat.
“Oleh demikian peruntukan yang telah dikemaskini bagi melaksanakan COSS pada 2022 adalah RM2.42 bilion dan bagi 2023 jumlah peruntukan diperlukan dianggarkan RM1.6 bilion tertakluk kepada pergerakan naik turun harga CPO.
“Jumlah peruntukan atau dana yang diumumkan melalui belanjawan bagi melaksanakan COSS adalah RM400 juta bagi 2022 dan RM500 juta tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang ingin tahu mengenai peruntukan minyak masak subsidi minyak yang diluluskan pada 2022 dan 2023.
Fuziah menjelaskan, bagi tujuan menyediakan minyak masak paket bersubsidi, KPDN melantik 366 syarikat pembungkusan di seluruh negara untuk membekalkan minyak masak bersubsidi di pasaran. – Malaysiapost