Polis arah penganjur batalkan ‘Gang Bang JB Party

Polis arah penganjur batalkan ‘Gang Bang JB Party

POLIS Johor memberi amaran keras supaya pihak penganjur acara dipercayai parti seks bebas ‘Gang Bang JB Party’ membatalkan acara berkenaan 

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan membuat pemantauan berterusan terhadap apa jua penganjuran acara yang menyalahi undang-undang.

“Pihak polis memberi amaran yang keras kepada penganjur agar acara tersebut tidak diteruskan dan dibatalkan.

“Pemantauan berterusan akan dibuat terhadap apa-apa juga penganjuran acara yang menyalahi undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, penganjuran acara itu dikesan melalui penularan poster melalui media sosial Twitter bertajuk “Gang Bang JB Party” yang mempromosikan pesta seks bebas.

Beliau berkata, acara itu dijangka akan diadakan pada 20 Jun 2023 bermula jam 4 petang hingga 9 malam.

Kamarul Zaman berkata, penganjuran acara berkenaan secara jelas adalah menyalahi undang-undang.

“Polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 292(e) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan penyebaran melalui media sosial, polis akan membuat siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum 50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mencetuskan kebimbangan atau menggugat ketenteraman awam,” katanya. – Malaysiapost

Komen