Suami isteri kena dakwa dera anak

SEPASANG suami isteri dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini, atas pertuduhan mengakibatkan kecederaan fizikal terhadap dua anaknya, Januari lalu.

Noor Aliff Ridzwan Zakaria, 29, dan Nur Syafiqah Rosli, 28, masing-masing bapa tiri dan ibu kandung kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan itu mengaku tidak bersalah selepas dua tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.
 
Mengikut kertas pertuduhan pertama, Nor Aliff Ridwan dan Nur Syafiqah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun didakwa melakukan penganiayaan yang mengakibatkan kecederaan fizikal.
 
Bagi pertuduhan kedua pula kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan sama terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
 
Kedua-dua kes itu didakwa berlaku di sebuah rumah di Bukit Rangin pada Januari lalu.
 
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau keduanya sekali.
 
Kedua-dua tertuduh juga boleh dikenakan perintah bon berkelakuan baik dan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan.
 
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haryati Abdullah menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dan syarat tambahan tidak boleh menghampiri mangsa yang kini berada di bawah jagaan nenek mereka hingga kes selesai.
 
Tertuduh juga diarah menyerahkan pasport dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
 
Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam, Mohamad Hamizey Mat Taib dalam rayuan memohon jaminan dikurangkan kerana tertuduh lelaki bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM2,500 sebulan manakala tertuduh wanita tidak bekerja.
 
Mahkamah kemudian membenarkan pasangan itu diikat jamin RM12,00 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 4 Julai depan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights