Tak kemuka calon Senator, Arafat dakwa PN Perak bergolak

Tak kemuka calon Senator, Arafat dakwa PN Perak bergolak

KERETAKAN melanda Perikatan Nasional (PN) Perak apabila gagal mengemukakan nama calon Senator untuk dipilih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini, dakwa Muhamad Arafat Varisai Mahamad. 

Naib Pengerusi PKR Perak itu berkata,  maklumat daripada pejabat Speaker DUN mendapati pembangkang tidak menghantar nama calon untuk jawatan tersebut.

“Saya sendiri dapatkan maklumat daripada pejabat Speaker, kita tanya bagaimana boleh tiada calon daripada pembangkang?

“Saya difahamkan oleh pejabat Speaker, nama calon (Pembangkang) tidak dikemukakan, cuma borang kosong saja… saya difahamkanlah, sampai itulah tahap keadaan sebenar (PN) di Perak.

“Ini membuktikan mereka bergolak kerana tidak dapat memilih satu nama sebagai calon Senator. Pembangkang hanya sekadar pembangkang. Untuk kemukakan nama senator pun tak mampu, ini pula nak gugat Kerajaan Perpaduan negeri.

“Mungkin selepas ini pembangkang boleh kata ‘kami ada hantar borang tapi ditolak oleh pejabat Speaker’ tapi hakikatnya tiada,” katanya pada sidang media di bangunan DUN, Ipoh hari ini.

Terdahulu, DUN Perak memilih Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sebagai Ahli Dewan Negara.

Naib Presiden Amanah itu adalah calon tunggal untuk jawatan tersebut. – Malaysiapost

Komen