Tiada pihak boleh sahkan PN guna dana judi – Azalina

TIADA mana-mana pihak yang boleh mengesahkan dakwaan kononnya sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional (PN) datang daripada syarikat perjudian.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat tersebut.

“Bagaimanapun, SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu ini,” katanya.

Azalina menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status siasatan terhadap dakwaan bahawa parti-parti dalam PN mendapat sumbangan daripada dana judi ketika kempen pilihan raya umum lalu.

Awal Disember lalu, media melaporkan Anwar dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

“Sama ada anda menggelar parti anda sebagai parti Melayu atau parti Islam, dana itu datangnya daripada syarikat perjudian,” katanya.

Susulan itu PAS menggesa Perdana Menteri mengemukakan bukti berhubung dakwaan bayangan dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PAS amat kesal dengan dakwaan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri itu dan menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak berasas. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights