Tunjuk bukti jika ada YB guna sijil palsu

Tunjuk bukti jika ada YB guna sijil palsu

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah menerima aduan kes penjualan sijil ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang melibatkan institut pendidikan tinggi swasta (IPTS) di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohd Yusof Apdal berkata, pihaknya akan bertindak berdasarkan aduan yang diterima terus oleh KPT atau melalui keseluruhan aduan dalam talian menerusi sistem pengurusan aduan awam (SISPA).

Beliau berkata, KPT memandang serius sebarang laporan membabitkan integriti dan kualiti institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) mahupun IPTS yang terlibat penjualan sijil palsu dalam kalangan graduan mahupun ahli politik.

“Menyentuh tentang sijil palsu ini atau dakwaan ahli berhormat memiliki sijil palsu, kita di pihak kementerian memang ada mendengar cerita sedemikian tetapi setelah mereka mendendangkan ini, tak nampak pula ada yang didakwa.

“Jadi, maksudnya, kita tak boleh ambil tindakan atas dasar maklumat seperti yang diuar-uarkan. Kalau pun betul ada, kita minta Yang Berhormat kemukakan bukti bahawa ada ahli-ahli berhormat yang pegang sijil palsu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya berapa banyak kes penjualan sijil berlaku dalam negara, dan dakwaan ahli politik Malaysia terlibat dalam pembelian sijil akademik palsu.

Ahli Parlimen Lahad Datu itu menjelaskan, dalam soal sijil palsu, ia tidak selalunya berpunca dari institusi itu sendiri, tetapi boleh disebabkan pemalsuan dokumen oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Semua ini menjadi satu perkara yang memerlukan kita bukti yang nyata. Maka kalau ada bukti, lapor pada pihak berkaitan khususnya kementerian.

“Menyentuh soal syarat nak jadi menteri mesti ada ijazah, rasanya ini kita serahkan pada pihak lebih bertanggungjawab untuk buat keputusan sama ada perlu ada ijazah untuk jadi menteri atau tidak,” katanya. – Malaysiapost

Komen