PEREKA kandungan digital tanah air, Mohamad Sofian Abdullah kehilangan sebuah beg yang mengandungi barangan penting termasuk hasil projek videonya yang belum diterbitkan.
Dia yang dikenali sebagai Sofyank, berkata terdapat individu yang disyaki terambil beg miliknya semasa tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura, semalam.
“Pengesanan tersebut berhenti pada jam 6 pagi. Saya percaya orang itu sedang dalam penerbangan ke tempat lain.
Menurut Sofyank, beg itu pada awal dikesan berada di lokasi yang sama menerusi AirTag yang dihubungkan kepada telefon pintarnya, meskipun belum dijumpai sehingga jam 6 pagi tadi.
“Saya akan mendapatkan kembali lokasi langsung setelah beg mendarat dan AirTag menerima liputan daripada peranti iOS yang berdekatan.
“Rasanya, peluang untuk mendapatkan telefon pintar berkenaan adalah terlalu rendah,” ciapnya di Twitter.
Sementara itu dalam hantaran di Facebook, Sofyank berkata, dia cuba menggunakan platform media sosial itu untuk mendapatkan semula beg berkenaan.
“Saya cuba nasib sekiranya masih rezeki saya untuk dapatkan beg saya semula. Hope (harap) korang boleh share (kongsi) post ni sehingga sampai kepada orang yang tersalah ambil beg saya.
“Kalau tak dapat barang lain, InsyaAllah saya redha, saya cuma berharap untuk dapat balik ‘harddisk’ saya,” katanya.
Sofyank sebelum ini telah beberapa kali berkolaborasi dengan selebriti antarabangsa antaranya Paul Ruud (Ant-Man) dan Jonathan Majors (Kang The Conqueror).
Selain itu, Sofyan pernah menarik perhatian antarabangsa apabila pelakon terkenal, Will Smith memuat naik semula video yang disuntingnya, malah sehingga kini, video ciptaan beliau ditonton oleh jutaan pelayar media sosial.
Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengucapkan tahniah kepada Sofyank kerana menjuarai pertandingan Ultimate VFX Challenge – Magic Of The Month di Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Beliau berkata, pencapaian anak muda itu adalah satu kejayaan yang membanggakan negara di persada antarabangsa dan harus diteruskan. – Malaysiapost