Kerajaan buat laporan polis terhadap penuntut dakwa waris Kesultanan Sulu

Kerajaan buat laporan polis terhadap penuntut dakwa waris Kesultanan Sulu

KETUA Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya terhadap penuntut-penuntut yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.

Sekretariat Khas JPM dalam kenyataan berkata, laporan tersebut dibuat susulan tindakan tuntutan difailkan oleh penuntut-penuntut itu melalui Notis Timbang Tara yang diserahkan kepada kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019 melibatkan anggaran tuntutan melebihi US$32 bilion.

“Ketua Pengarah BHEUU JPM membuat laporan ini kerana tuntutan ini merupakan satu ancaman kepada keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, rentetan daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Kumpulan Royal Sulu Force (RSF) sebagai entiti pengganas yang terbabit dalam tragedi pencerobohan di Sabah pada 2013.

Sekretariat Khas Sulu berkata, salah seorang penuntut iaitu Fuad A Kiram juga telah diklasifikasikan sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Penggubalan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLAATFUAA) pada 6 April 2023.

“Objektif laporan polis ini dibuat adalah dengan mengambil kira wujudnya elemen sabotaj ke atas ekonomi dan ancaman kepada keselamatan negara melalui tindakan agresif penuntut yang dipercayai bersubahat dengan menyalahguna proses timbang tara antarabangsa.

“Susulan daripada laporan ini, dipercayai satu siasatan jenayah akan dimulakan oleh pihak berkuasa demi menjamin keamanan, keselamatan dan kestabilan negara,” katanya. – Malaysiapost

Komen