Malaysia adalah negara yang tersilap beri subsidi, kata Ahmad Maslan

TIMBALAN Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan dasar pemberian subsidi yang dilaksanakan negara selama ini adalah satu kesilapan yang perlu diperbetulkan.

Ahmad berkata, ini kerana di Malaysia lebih ramai golongan kaya dapat menikmati pelbagai subsidi yang diberikan oleh kerajaan berbanding golongan miskin.

“Kita ingin melakukan perkara yang adil, orang miskin perlu diberi lebih subsidi berbanding orang kaya tetapi Malaysia ini sebuah negara yang tersilap memberikan subsidi, (kerana) orang kaya dapat lebih banyak daripada orang miskin.

“Jadi kita ingin membetulkan kesilapan itu, selama ini mereka yang memiliki lebih banyak pendingin hawa dan kereta di rumah dapat lebih banyak subsidi sedangkan mereka yang tiada pendingin hawa dan memiliki motosikal kecil hanya terima sedikit.

“Saya boleh sebut dasar itu silap, dasar pemberian subsidi itu tersasar. Jadi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan bukan kerajaan yang ingin popular, maka kesilapan tersebut perlu diperbetul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS), hari ini.

Sementara itu, menyentuh mengenai subsidi bersasar beliau berkata, kerangka mengenai pelaksanaan itu masih dibincangkan di peringkat Kementerian Kewangan sebelum dibentangkan di Kabinet.

Katanya, pendekatan subsidi secara bersasar itu akan dijalankan secara berperingkat-peringkat supaya mereka yang berada dalam tangga pendapatan T20 tidak mengalami kejutan.

“Semalam, jawapan Nik Nazmi Nik Ahmad di Dewan Rakyat bahawa penjimatan subsidi elektrik yang dilakukan secara bersasar dari 1 Januari hingga Jun sebanyak RM5.6 bilion, dengan jumlah sebanyak itu macam-macam perkara kita boleh laksanakan untuk rakyat.

“Itu baru elektrik, belum lagi RON 95, RON 95 kita akan mulakan tahun depan sebab kita hendak buat peringkat demi peringkat, kita tak mahu T20 ini terkejut dengan segala (subsidi) ditarik sana sini,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan di Parlimen, bahawa golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak akan menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik atau menunaikan haji.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata, satu sistem penyelarasan data dikenali sebagai Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka disiapkan menjelang akhir tahun ini dan boleh menyelaraskan penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

Mengikut penjelasan Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada 2020, B40 mewakili golongan berpendapatan rendah dengan purata pendapatan bulanan di bawah RM4,850, manakala M40, yang juga kumpulan isi rumah pertengahan, dengan purata bulanan RM4,851 hingga RM10,970. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights