Muhyiddin tiba di Mahkamah Kuala Lumpur 

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada ini untuk menghadiri prosiding sebutan kes melibatkan pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Bersatu dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu itu kelihatan tenang tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8.41 pagi, lapor Sinar Harian.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin dan Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilihat turut hadir di pekarangan mahkamah pada jam 8.55 pagi bagi memberi sokongan moral kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Mac lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin Md Yasin, 76, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.

Pendakwaan terbabit menjadikan beliau sebagai bekas Perdana Menteri kedua yang terkenal dengan panggilan ‘Abah’ didakwa di mahkamah atas kesalahan menerima rasuah dan pengubahan wang haram selepas Datuk Seri Najib Razak. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights