TIADA logo dan bendera DAP pada kertas undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang boleh membuatkan ahli Umno risau, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, itu berkata, logo Umno juga tidak terpapar pada kertas undi pada PRN ini kerana ahli parti itu hanya perlu mengundi calon daripada Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sahaja.
Katanya, tiga parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sarawak (GRS) dan Warisan tidak terlibat dalam PRN di enam negeri nanti.
Timbalan Menteri Kewangan itu menegaskan, PRN hanya akan menyaksikan pertandingan tiga kumpulan parti terbesar iaitu BN, PH dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya ingin beri kefahaman bahawa tidak ada logo DAP dan Umno pada kertas undi kerana kita bertanding itu dalam kumpulan atas nama Kerajaan Perpaduan.
“Bukan atas nama parti DAP dan ketika PRN, bila kita dalam satu pasukan perlu saling tolong-menolong. Masa PRN, tiada ada bendera atau logo DAP dalam kertas undi termasuk Umno.
“Yang ada hanya logo PH dan BN, di mana itu hakikat pada PRN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan (SIS) di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan seorang lagi Ahli MKT, Isham Jalil yang memberi amaran sokongan kepada Umno akan terhakis jika pemimpinnya terus membuat desakan melampau mahukan ahli mengundi calon DAP pada PRN.
Sebelum ini, Ahmad menyelar tindakan pihak tidak bertanggungjawab melabelnya sebagai kafir hanya kerana meminta ahli Umno mengundi DAP, selain menyifatkan tindakan itu sebagai tidak matang.
Ahli Parlimen Pontian mengutuk tindakan pihak terbabit yang menerbitkan poster menggunakan muka babi dan ditularkan di media sosial.
Katanya, tindakan sedemikian sebagai dangkal dan tidak matang, selain menegaskan perilaku terbabit tidak sepatutnya berlaku. – Malaysiapost