Projek LCS diteruskan – Mohamad 

KERAJAAN memberi jaminan meneruskan projek-projek Perolehan Kapal Second Generation Patrol Vessel (SGPV) berkeupayaan Littoral Combat Ship (LCS) bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) ditubuhkan oleh Kementerian Kewangan bagi memindahkan hak milik Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd. (BNSSB) sebagai anak syarikat kementerian itu, selaras dengan syarat dipersetujui.

“Walaupun menubuhkan SPV, pelaksanaan projek pembinaan lima LCS itu akan terus dipantau melalui Project Monitoring Committee (PMC).

“Perolehan itu penting bagi meningkatkan keupayaan armada selaras Pelan Transformasi 15 to 5 TLDM untuk memelihara kedaulatan perairan negara.

“Kementerian bersama TLDM dan BNSSB akan memberi tumpuan sepenuhnya bagi memastikan projek LCS berjaya disempurnakan,” katanya selepas menyaksikan pemeteraian Perjanjian Kontrak Tambahan Keenam di Langkawi, hari ini.

Kontrak ditandatangani sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ‘23) menyaksikan Kementerian Pertahanan diwakili Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Muez Abd Aziz manakala BNSSB diwakili Pengerusinya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman. 

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pelaporan berkala akan diberi sekurang-kurangnya tiga bulan sekali kepada Parlimen melalui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) supaya kemajuan projek LCS dipantau bersama semua pihak.

“Ini perlu untuk kita memastikan hasrat meneruskan pembinaan LCS ini dicapai dan berjaya sepertimana dikehendaki TLDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Projek ini akan bermula sekarang selepas kita tandatangan ini dan berharap kapal pertama dapat disiapkan pada November 2024, seterusnya dapat ditauliahkan setahun (kemudian) atau pada 2026 setelah lulus ‘Harbour Acceptance Test’ dan ‘Sea Acceptance Trial’,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights