Ringgit mampu capai 4.2 berbanding dolar US selepas ini – Ahmad Maslan

NILAI ringgit dijangka mencapai kadar munasabah sekitar RM4.20 sekiranya hasil perbincangan untuk meningkatkan siling hutang Amerika Syarikat(AS) berjaya mencapai kata putus, kata Datuk Seri Ahmad Maslan. 

Timbalan Menteri Kewangan itu berkata, nilai ringgit yang berada pada kadar 4.63 sen berbanding dolar Amerika ketika ini diharap bersifat sementara dan kembali stabil dalam masa terdekat.

“Pada pandangan saya, kadar munasabah itu adalah di mana kadar yang lama berlaku untuk sesuatu masa atau tempoh. Katalah RM4.20 dalam tempoh lima hingga enam bulan mungkin itu kadar yang munasabah dari segi prinsip pertukaran asing,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Dokumen Piawaian Pelaburan Mampan di Putrajaya, hari ini

Ahmad berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) diberi tanggungjawab untuk melihat kaedah dan mencari remedi bagi memulihkan nilai ringgit yang mengalami kemerosotan kebelakangan ini.

Beliau menegaskan, pihaknya yakin bank pusat itu mempunyai strategi untuk mengekang kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika.

“Saya akan bawa perkara ini pada mesyuarat Jemaah Menteri petang ini, BNM juga akan hadir. Kita serahkan kepada BNM supaya perkara ini tidak terus teruk,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights