Syamsul peroleh perintah halang Puteri Sarah sebar, hebah kes cerai

PELAKON dan pengarah filem tersohor, Syamsul Yusof hari ini berjaya mendapatkan perintah injunksi lanjutan secara sebelah pihak (ex-parte) terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamarudin.

Melalui perintah injunksi baharu tersebut, antaranya Puteri Sarah dihalang, dilarang dan ditegah sama sekali untuk memuat naik, mengeluarkan, menulis, menerbit, menyebarkan, menghebahkan atau menyalurkan sebarang keterangan berhubung kes cerai dan nusyuz pasangan itu dalam apa jua bentuk dan medium.

Ia berkuat kuasa daripada hari ini (26 Mei) sehingga 8 Jun ini, di mana pada tarikh itu juga (8 Jun), mahkamah akan mendengar permohonan injunksi secara dua belah pihak (inter-parte).

Ini perintah injunksi kedua secara sebelah pihak (ex-parte) yang dimohon oleh Syamsul di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di mana perintah perintah pertama diperolehnya pada 27 April lalu dan akan berakhir esok.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah ketika permohonan untuk melanjutkannya dibuat secara lisan semalam.

Pada prosiding hari ini di hadapan hakim yang sama, Syamsul hadir diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais dan Norrulnadiya Mohd Saref.

Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada 16 Januari lepas dengan alasan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan tidak lagi hidup sebagai suami isteri.

Syamsul pula pada 21 Mac lalu memfailkan permohonan nusyuz terhadap Sarah atas alasan wanita itu masih menghubungi bekas kekasihnya walaupun lelaki itu sudah beristeri. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights