PERIKATAN Nasional (PN) akan merujuk peguam sebelum membuat tindakan lanjut berhubung dakwaan sebelum ini yang menuduh parti itu menggunakan dana syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa PN dibiayai syarikat judi pada PRU15 lalu dsifatkan sebagai fitnah dan juga pembohongan besar.
Justeru, beliau menuntut Anwar dan Ahmad Zahid memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan dan dakwaan bersifat fitnah berkenaan.
“Kita akan bincang dengan peguam, apa tindakan seterusnya yang akan diambil terhadap kenyataan-kenyataan (tuduhan dana judi) yang dibuat oleh PM dan TPM. InsyaAllah ia akan diteliti.
“Namun, yang pertama sekali kita akan tuntut mereka memohon maaf kerana ini satu fitnah dan pertuduhan yang berat. Lepas itu kita akan tengok apa yang (respon) mereka lepas itu,” katanya ketika ditemui media, hari ini.
Semalam media melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjelaskan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.
Azalina melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.
Bagaimanapun, katanya SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu tersebut.
Sebelum ini, Anwar dalam sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya. – Malaysiapost