‘Pasal apa saman saya’ – Zahid

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hairan dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mempertimbang tindakan undang-undang terhadapnya.

Ahmad Zahid berkata, beliau tertanya-tanya mengapa dirinya menjadi antara individu yang dipertimbang untuk dikenakan tindakan undang-undang berhubung tuduhan isu dana judi membabitkan Perikatan Nasional (PN).

“Dengan saya? Saya? Pasal apa (saman) saya?” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Minggu Latihan Kebangsaan 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan PN menerima dana daripada syarikat judi untuk melaksanakan kempen PRU15 yang lalu.

“Semalam, (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman telah keluarkan kenyataan rasmi mengenai perkara itu, dan (Ketua Pesuruhjaya SPRM) Tan Sri Azam Baki juga telah perjelaskan.

“Oleh kerana perkara ini masih lagi di dalam siasatan terperinci, kita serahkan kepada SPRM untuk memperincikan siasatan itu,” katanya.

Semalam, Muhyiddin memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan peguam mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahmad Zahid dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said di Dewan Rakyat, yang menjelaskan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan. 

Bagaimanapun, katanya SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu ini. Justeru, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu tersebut.

Sebelum ini, Anwar dalam sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.  – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights