Pesara kerajaan rugi RM129,800 kena scam

SEORANG pesara kerajaan rugi RM129,800 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai anggota polis, Februari lalu. 

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, mangsa adalah seorang wanita berusia 61 tahun mendakwa menerima panggilan daripada suspek pada 29 Februari lalu. 

“Suspek menyamar sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan mendakwa mangsa terbabit dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan bakal dikenakan tindakan tegas. 

“Mangsa yang takut dengan ugutan dibuat suspek kemudiannya diarahkan memindahkan sejumlah wang ke akaun diberikan suspek bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Yahaya berkata, mangsa mendakwa melakukan tiga transaksi pemindahan wang ke tiga akaun berbeza diberikan suspek. 

Katanya, mangsa hanya menyedari menjadi mangsa penipuan selepas suspek terus memintanya memindahkan wang ke akaun kononnya untuk siasatan lanjut. 

“Mangsa kemudiannya membuat laporan polis berhubung perkara itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.  – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights