PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa sedih dan simpati atas kehilangan wira negara, Allahyarham Awang Askandar Ampuan Yaacub, yang meninggal dunia ketika mendaki Gunung Everest.
Anwar menerusi hantaran di Facebooknya menyifatkan pemergian Allahyarham adalah kehilangan besar buat negara selain mengundang rasa pilu rakyat Malaysia.
“Saya sempat ketemu saudara Awang di Parlimen sebelum keberangkatannya ke Everest dan ternyata sikap serta semangat yang ditonjolkan amat mengujakan.
“Saya dan keluarga serta seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama golongan beriman.
“Moga kaum keluarganya diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menempuhi ujian ini,” katanya.

Awang Askandar, 56, yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, dilaporkan terjatuh ketika melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari aras laut.
Allahyarham disahkan meninggal dunia ketika hendak diberikan rawatan di Kem 4.
Jenazah peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Benoni, Sabah pada jam 5.20 petang tadi. – Malaysiapost