‘Saya tak keluar kenyataan tanpa asas’ – Anwar

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedia berdepan tindakan undang-undang berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Namun, beliau menasihatkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membaca kenyataan mengenai perkara itu secara lengkap sebelum mengambil tindakan.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menegaskan beliau tidak akan membuat sebarang dakwaan jika ia tidak mempunyai asas.

“Baca kenyataan dengan lengkap baru ambil tindakan. Tapi kalau dia nak bawa terus, silakan.

“Saya tak akan keluarkan kenyataan sekiranya tiada asas,” katanya selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang dilaporkan sedang berbincang dengan peguam mengenai kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar berhubung isu berkenaan.

Sebelum ini, Anwar pernah membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang daripada syarikat perjudian.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, siasatan terhadap dakwaan dana tersebut masih lagi berjalan melibatkan pelbagai agensi.

“Ia ada banyak agensi dan siasatan bila dah ada bukti, barulah disebarkan atau diambil tindakan mengikut (perundangan),” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan mengatakan PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Katanya, siasatan SPRM mendapati dakwaan itu terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu, sekali gus tiada fail siasatan dibuka.

Bagaimanapun, Azalina menegaskan siasatan dakwaan dana judi melibatkan PN, tidak dihenti atau digugurkan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights