Semua Menteri, Timbalan dalam Kerajaan Perpaduan ‘perform’ – Zahid 

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan semua anggota jemaah menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan menunjukkan prestasi memuaskan setakat ini.

Namun, beliau berkata, sebarang keputusan untuk melakukan rombakan Kabinet adalah hak mutlak dan budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan pengalamannya sebelum ini, keputusan mana-mana Perdana Menteri untuk merombak Kabinet tidak perlu dibincang bersama jemaah menteri.

“Itu (rombakan Kabinet) adalah hak mutlak dan budi bicara Perdana Menteri. Kita tunggu kalau benar perkara itu (rombakan selepas pilihan raya negeri) berlaku.

“Lazimnya, tidak ada seorang Perdana Menteri yang bincang dalam Kabinet untuk melakukan rombakan.

“Pada pandangan saya, setakat ini semua (menteri dan timbalan menteri) ‘perform’,” katanya.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan Perdana Menteri berhasrat melakukan rombakan Kabinet selepas enam PRN selesai tidak lama lagi.

Laporan yang memetik sumber PKR itu mendakwa, rombakan itu akan didahulukan dengan ‘pembersihan’ barisan pimpinan tertinggi penjawat awam, sebelum Kabinet dirombak.

Menurut sumber itu, Anwar berhasrat menyingkirkan anggota Kabinet yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan.

Namun katanya, Perdana Menteri berkemungkinan besar akan memulakan langkah itu dengan penyingkiran ketua setiausaha dan ketua pengarah di beberapa kementerian. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights