Shila Amzah, Ubai bertunang

PENYANYI Shila Amzah, dan pempengaruh media sosial, Ubai MZ, mengikat tali pertunangan hari ini.

Berita gembira itu dikongsi Ubai atau Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli menerusi foto yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Ubai dan Shila atau Nurshahila Amir Hamzah, masing-masing dilihat menggayakan persalinan sedondon rona ungu dan duduk di pelamin.

Ubai hanya memuat naik kapsyen ringkas yang memberi gambaran majlis pertunangan berjalan lancar.

“Alhamdulillah,” tulis Ubai ringkas dengan disertakan emoji sebentuk cincin.

Sementara itu, Shila meluahkan rasa syukur apabila status Ubai yang sebelum ini hanya teman lelaki kini berubah menjadi tunang.

Shila menerusi hantaran dalam IG turut berterima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam majlis pertunangan itu.

Malah, penyanyi lagu Patah Seribu itu berharap mereka diberi kekuatan untuk mendepani cabaran ketika dalam fasa pertunangan.

“Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Terlebih terkurang dari pihak keluarga Sha, kami minta maaf.

“Terima kasih buat semua yang mendoakan kami. Semoga kami kuat menghadapi segala apa yang mendatang,” tulis Shila.

Terdahulu, pasangan ini mengaku bercinta menerusi sesi siaran langsung aplikasi TikTok.

Shila pernah mendirikan rumah tangga dengan Haris Idraki Elias pada April 2018, namun bercerai pada Februari 2022.

Hasil perkahwinan, Shila dikurniakan anak lelaki, Seth Uwais yang kini berusia dua tahun. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights