SPRM perlu lepaskan sitaan akaun Bersatu

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menarik balik sitaan ke atas akaun Bersatu selepas disahkan tiada kertas siasatan dibuka.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebelum ini pihaknya secara konsisten menyatakan sumbangan atau dana yang diterima ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bukan daripada syarikat judi.

“Oleh itu, sewajarnya akaun Bersatu dilepaskan kerana parti kami tidak menghadapi apa-apa tindakan atau pendakwaan di mahkamah.

“Bersatu juga adalah entiti berbeza daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan dakwaan di mahkamah.

“Jadi, kenapa akaun parti yang perlu disita dan apa dosa ahli Bersatu dalam masalah ini?,” katanya pada sidang media selepas Majlis Sembang Santai Pesanan Menuju Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, hari ini.

Sebelum ini, dua akaun Bersatu yang dibekukan sejak Januari lalu, disita SPRM pada 11 April lalu untuk tindakan lanjut.

SPRM dalam kenyataan memaklumkan, sitaan ke atas dua akaun parti terbabit dibuat setelah pihaknya mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001) kepada pihak bank.

Khamis lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen pada PRU15.

Azalina melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

Justeru, menurutnya, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu tersebut.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata, dakwaan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya adalah fitnah dan tuduhan serius.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata, PN dalam proses memuktamadkan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN tidak lama lagi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights