PETRONAS menjelaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menemui sebarang salah laku kakitangan dan pengarahnya berhubung pemberian kontrak syarikat itu dua tahun lalu.
Menurutnya, siasatan itu melibatkan pemberian kontraknya kepada anak syarikat Malaysia sebuah syarikat huluan antarabangsa pada 2021.
Beliau berkata, pihaknya telah memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang tempoh siasatan dan tidak menemui sebarang salah laku di bawah Akta SPRM 2009.
“Oleh itu, selaras dengan cadangan SPRM dan sejajar dengan dasar toleransi sifar rasuah, Petronas sentiasa mengambil langkah menambah baik prosedur operasi standard (SOP).
“Ini sebagai usaha berterusan dalam mencegah dan membanteras segala bentuk rasuah serta salah laku oleh pekerja, pengarah dan pihak ketiga bagi pihak syarikat dalam kumpulan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Petronas akan terus komited memberikan kerjasama kepada SPRM dalam usaha berkenaan.
Semalam SPRM memaklumkan, sedang menyiasat dakwaan terdapat unsur rasuah bernilai RM399 juta membabitkan Petronas dan sebuah syarikat minyak dan gas antarabangsa dalam projek itu di Sarawak.
SPRM dalam kenyataannya, mengesahkan sudah membuka fail siasatan berhubung dakwaan berkenaan seperti yang disiarkan di sebuah portal baru-baru ini.
Laporan portal itu mendakwa Petronas dikatakan ‘memberi’ hampir RM400 juta kontrak terhadap sebuah syarikat yang sebelum ini diputuskan bersalah atas pembabitan rasuah di seluruh dunia.
Laporan itu turut meminta SPRM menyiasat jika ada salah laku membabitkan kepimpinan tertinggi Petronas.
SPRM berkata, setakat ini pihaknya menemui beberapa kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja berhubung isu berkenaan serta sudah mencadangkan penambahbaikan SOP sebagai langkah pencegahan.
SPRM turut menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat baharu berhubung isu berkenaan untuk tampil menyalurkan kepadanya bagi siasatan lanjut mengikut Akta SPRM 2009. – Malaysiapost