Ahmad Maslan saran balik kampung, berkhemah tips percutian jimat cuti sekolah

TIMBALAN Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan menyarankan rakyat memanfaatkan cuti sekolah dengan pulang ke kampung, berkhemah atau memilih detinasi percutian dalam negara.

Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya, Ahmad berkata, sekiranya keadaan ekonomi dan kewangan berada sekadar ‘cukup’ adalah lebih baik membawa anak-anak pulang ke kampung untuk bercuti.

“Cuti Sekolah – apa anda ingin lakukan? Ketika kewangan peribadi yang sekadar cukup, kita boleh balik kampung.

“Beri pengalaman untuk anak-anak hidup dalam udara segar dan suasana nyaman,” tulisnya dalam hantaran berkenaan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno turut menyarankan percutian bajet yang tidak memerlukan kos tinggi seperti berkhemah.

“Kepada yang sudah duduk di kampug, bercuti dalam negara adalah pilihan. Cuba cuti dengan berkhemah di tepi pantai-pantai yang ada,” katanya.

Cuti penggal pertama sesi persekolahan 2023/2024 bermula Jumaat lalu hingga 3 Jun ini bagi negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara sekolah di negeri-negeri lain bermula semalam sehingga 4 Jun ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights