Anak semakin rindu, mula tanya kepulangan Hawari – Isteri

ANAK kepada pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) Muhammad Hawari Hashim,33, yang dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu sembilan hari lalu, sudah mula merindui bapa mereka.

Isterinya, Saffiyah Tang Xie Lie, 34, berkata, Hana Sakeena Muhammad Hawari, 4, dan Haris Sufian,2, sering bertanyakan bapa mereka setiap malam sebelum tidur.

Tiga beranak yang juga OKU pendengaran itu masih terus berharap agar Muhammad Hawari dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat, lapor Kosmo Online.

“Anak sulung kami amat rindukan daddy (Hawari) dan selalu tanya bila daddy akan pulang.

“Hana juga seorang anak yang kreatif dan ada lukis gambar ‘tersirat’ di mana kami sekeluarga berada di kawasan berbukit.

“Dia tahu daddy ada di situ dan sekurang-kurangnya gambar itu memberi harapan buat kami sekeluarga yang Muhammad Hawari akan kembali dengan selamat,” katanya.

Menerusi terjemahan bahasa isyarat anak saudaranya, Muhammad Danish Danial Muhammad Hafizul,17, Safiyyah berkata, emosinya terganggu sejak menerima perkhabaran berhubung kehilangan suaminya itu.

“Kali terakhir dia hubungi saya pada 15 Mei dan memaklumkan akan memulakan pendakian.

“Memang terkejut sebab hari Khamis suami berjaya sampai ke puncak, namun hilang keesokan harinya.

“Dia sudah berjanji untuk pulang dan meminta kami bersedia untuk menyambutnya di KLIA dan saya memohon doa semua supaya suami balik dengan selamat,” katanya.

Terdahulu, keluarga itu menerima kunjungan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Menerusi hantaran di Facebook, Wan Saiful berkata, beliau menzahirkan rasa simpati dan berdoa agar Hawari berjaya ditemui dan akan pulang ke pangkuan keluarga tidak lama lagi.

“Saya menghargai usaha kerajaan Malaysia yang masih berikhtiar dalam misi mencari dan menyelamat Hawari di Everest.

“Saya juga ada berbincang mengenai mengenai kebajikan dan kaunseling untuk keluarga ini di masa akan datang, dan akan memanjangkan perkara ini kepada agensi berkaitan.

“Semoga keluarga Hawari kuat dan tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.

Muhammad Hawari yang menyertai misi pendakian Gunung Everest, Himalaya dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu.

Beliau yang juga orang kelainan upaya (OKU) pendengaran dipercayai hilang selepas berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu pada 18 Mei lalu.

Mangsa adalah kumpulan sama yang menyertai ME2023 bersama Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Lot Kol Awang Askandar Ampuan Yaacub yang meninggal dunia selepas terjatuh ketika misi menakluk Everest pada ketinggian 8,000 meter. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights