‘Jangan main isu perkauman, agama’ – Zahid

TINDAKAN pihak tertentu yang memanipulasi isu perkauman dan agama untuk meracuni pemikiran rakyat dikhuatiri boleh menjejaskan kestabilan politik dibina kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kerajaan tidak akan berkompromi dengan tindakan yang boleh mengganggu-gugat kestabilan negara serta ketenteraman rakyat.

“Jangan main isu perkauman. Jangan main isu agama. Saya tegaskan, tidak ada kompromi isu agama dan bangsa kita, walau apa pun manipulasi dilakukan.

“Tidak akan pernah luntur rasa kemelayuan kita dan tidak jatuh kalau kita menyantuni bukan agama kita.

“Ini bertujuan untuk menjaga keharmonian negara, kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang bermasyarakat majmuk, kemajmukan inilah yang harus disantuni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Gerakan Belia 4B Malaysia, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, usaha kerajaan membina kestabilan politik pada masa ini bukan berpaksikan kepentingan politik, tetapi untuk pembangunan negara dan kedudukan ekonomi supaya lebih baik.

“Ini untuk mewujudkan keharmonian dalam kalangan kita juga kerana Malaysia negara majmuk.

“Begitu juga soal kestabilan, bukan semata agenda politik tapi pembangunan negara dan ekonomi lebih baik serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menggesa agar kepimpinan Belia 4B yang bakal dilantik melihat realiti politik baharu negara yang telah berubah dan sedang didepani.

Katanya, organisasi belia perlu melihat perlembagaan organisasi itu yang fokusnya bukan sahaja bagi ahli-ahli tapi untuk semua.

Beliau turut mengajak Belia 4B supaya meningkatkan tahap ekonomi dengan menyertai peluang-peluang yang ada menerusi kursus-kursus ditawarkan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, TVET merupakan agensi di bawah kementeriannya yang banyak membuka ruang kepada mereka yang menyertai untuk membina kehidupan lebih baik dan ia perlu direbut oleh mereka. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights