Jangan nak perasan sertai kerajaan, Zahid beritahu Hadi

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dinasihatkan supaya tidak ‘perasan’ kononnya ada pihak yang menawarkan parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, PAS seeloknya terus bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga menolak dakwaan Abdul Hadi bahawa ada pihak dalam kerajaan menawarkan parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan.

“Saya rasa eloklah mereka (PAS) terus berkawan dengan Bersatu.

“Jangan perasan ada sesiapa nak tawarkan pada dia (Abdul Hadi).

“Itu (dakwaan PAS ditawar sertai kerajaan) di luar pengetahuan saya,” katanya seperti dipetik Berita Harian.

Beliau mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa ada pihak dalam kerajaan menghubunginya untuk berjumpa bagi menawarkan PAS menyertai Kerajaan Perpaduan.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, PAS sepatutnya diberikan peranan di hadapan untuk memimpin kerajaan kerana mempunyai lebih banyak kerusi.

“Dia nak ajak PAS, tetapi PAS duduk di belakang, bukan di depan. Patutnya bila buat kerajaan, parti lebih besar memimpin. Ini dia nak suruh macam kepala ular, kecil sahaja,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya terbuka dengan mana-mana tawaran oleh sesiapa pun, tetapi tawaran itu mesti tidak lari daripada prinsip, matlamat dan hala tuju PAS. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights