Kaji tanam padi air masin

KERAJAAN berhasrat meneroka kaedah penanaman padi air masin dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras negara pada masa depan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan awal sudah dibuat bersama pakar berkaitan di China bagi mendapatkan pandangan dan penggunaan teknologi bersesuaian.

“Saya bertemu profesor di China, ada tanaman padi air masin di sana dan mereka dapat benih sesuai selepas empat tahun kajian dan (mengharungi) lapan musim.

“Perkara ini berada di peringkat awal supaya kawasan di tepi laut air masin itu tidak dibiarkan … boleh digunakan pada masa akan datang dengan teknologi dan pandangan pakar.

“Kita akan teroka. Jadi, tiada sebab Malaysia tidak cukup beras pada masa akan datang, ” katanya selepas sesi libat urus bersama Usahawan Harumanis Kodiang di Pusat Pengumpulan Ladang, Kampung Pida 3, Kedah, hari ini.

Ditanya punca hasil padi di Kedah lebih rendah berbanding Sekinchan, Selangor, Mohamad menjelaskan ia berpunca daripada pengairan, pembajaan dan penjagaan.

Katanya, pesawah di Sekinchan menjadikan kerja di sawah sebagai kerja hakiki dan bukan sambilan.

“Kalau mengerjakan sawah, sistem pengairan dan pembajaan tak boleh dibuat secara sambilan.

“Mereka di Sekinchan menjadikannya sebagai kerja tetap dan kita mahu bergerak ke arah itu di Kedah.

“Tak boleh salahkan petani sebab sistem pengairan itu penting, kita tak boleh bertahan setakat lima tan sehektar, di Sekinchan mereka dapat lapan hingga 10 tan sehektar,” katanya.

Beliau berkata, tanaman padi menerusi skim berskala besar seperti di Sekinchan itu boleh dipraktikkan pesawah di Kedah sebagai usaha menghasilkan pengeluaran padi yang banyak dengan bantuan dan kerjasama Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan Padiberas Nasional Berhad (Bernas). – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights