Kerajaan cadang wujud akta lindungi pekerja e-hailing

KERAJAAN merancang mewujudkan akta bagi melindungi keselamatan kepada golongan pekerja ekonomi gig membabitkan pekerja e-hailing.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau telah berbincang dengan Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar supaya penggubalan akta berkenaan diperhalusi bagi memenuhi keperluan dan kepuasan pihak majikan serta pekerja.

Beliau berkata, ia akan mengambil masa agak panjang kerana ia melibatkan Jabatan Peguam Negara, input daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang terlibat dengan industri e-hailing.

“Jika ada akta ini pun, saya fikir ia mesti memuaskan hati semua pihak. Yang penting, asasnya jaminan masa depan mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, sebelum ini pihaknya bersama Kementerian Sumber Manusia telah mengadakan sesi libat urus bersama pihak industri, Persatuan-Persatuan Pekerja e-hailing dan NGO berkaitan bagi memperincikan akta berkenaan.

Katanya, pekerja e-hailing ketika ini bukan sahaja perlu diberi perlindungan dari segi insurans, malah memerlukan perlindungan terhadap perkara berkaitan pendapatan mereka.

Sementara itu, Sivakumar berkata, pihaknya ketika ini sedang merangka satu dasar untuk meneliti masalah serta isu berkaitan keselamatan sosial.

“Kementerian sedang merangka satu dasar berkaitan, untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

“Sekurang-kurangnya dari segi aspek keselamatan sosial dan sebagainya. Selepas itu baru kita akan melihat kepada akta yang sebenar” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights