PRESIDEN AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu turun padang menyantuni warga kota yang memerlukan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dapur Jalanan Kuala Lumpur (DJKL), petang semalam.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu juga turut dilihat menjamu selera dengan bersila dengan warga kota yang diraikan.
Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, beliau turun padang bagi menyaksikan usaha DJKL menyediakan makanan bagi warga Kuala Lumpur yang memerlukan sempena ulang tahun sedekad NGO tersebut.

“Saya dimaklumkan hari ini Dapur Jalanan Kuala Lumpur menyambut ulang tahun mereka yang ke-10.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada pasukan anak muda ini yang mengambil berat perihal kesempitan insan lain,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Mat Sabu, beliau amat tetrarik amat tertarik dengan ‘tagline’ DJKL ‘Makanan adalah hak untuk semua’, sekali gus mengingatkan semua pihak kepada tanggungjawab sebagai seorang mukmin.
“Dari Ibnu Abas dari Nabi SAW: Tidak termasuk orang mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan (HR Tabrani),” katanya. – Malaysiapost